Tiga penunggang cedera dalam nahas sembilan kenderaan di Lebuhraya SILK
KUALA LUMPUR – Tiga penunggang motosikal cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan sembilan kenderaan di Kilometer 25.7 Lebuhraya Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang (SILK), awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, nahas berlaku kira-kira jam 6.50 pagi melibatkan lima kereta dan empat motosikal.
Antara kenderaan yang terlibat ialah Perodua Aruz, Perodua Alza, Land Rover, Perodua Bezza, Perodua Myvi serta empat motosikal jenis Honda RS150, Wmoto Xtreme dan SYM VF3i.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kegagalan seorang pemandu kereta mengekalkan jarak selamat yang menekan brek secara mengejut, menyebabkan kenderaan di belakang tidak sempat membrek.
“Keadaan itu menyebabkan beberapa pemandu cuba mengelak dengan menukar lorong, namun berlaku pelanggaran antara kereta dan motosikal dari arah sisi serta belakang,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Akibat kejadian, tiga penunggang motosikal mengalami kecederaan termasuk patah tangan, luka di muka serta beberapa bahagian badan lain dan dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.
Naazron memaklumkan, pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM10,000 atau penjara maksimum 12 bulan jika sabit kesalahan.
Beliau turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496.
“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan serta mengekalkan jarak selamat ketika memandu bagi mengelakkan kemalangan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








