BERITA SEMASA

Greta Thunberg selamat tiba di Greece selepas diusir Israel

ATHENS – Aktivis alam sekitar terkenal dari Sweden, Greta Thunberg tiba di Athens, Greece semalam selepas diusir dari Israel bersama ratusan aktivis lain yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.

Greta, 22, merupakan antara peserta misi flotilla Global Sumud yang berlayar dari Barcelona, Sepanyol pada awal September dalam usaha menembusi sekatan laut Israel ke atas Gaza yang dilanda perang.

Ketibaan kumpulan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Eleftherios Venizelos disambut oleh penyokong yang membawa sepanduk serta melaungkan slogan “Kebebasan untuk Palestin” dan “Hidup flotilla!”.

Greta berkata, misi berkenaan sebagai “usaha terbesar yang pernah dilakukan bagi memecahkan kepungan haram dan tidak berperikemanusiaan Israel melalui laut.”

“Fakta bahawa misi ini perlu wujud adalah satu penghinaan. Dunia mesti bertindak bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” memetik laporan BH online

Sementara itu, Ahli Parlimen Eropah berketurunan Palestin-Perancis, Rima Hassan mendakwa dirinya dipukul oleh polis Israel selepas flotilla tersebut dipintas oleh tentera laut negara itu berhampiran perairan Mesir minggu lalu.

“Saya dipukul oleh dua anggota polis ketika dimasukkan ke dalam van. Kami kemudian ditempatkan di sel berasingan yang menempatkan sehingga 15 orang,” katanya lagi.

Menurut Kementerian Luar Greece, pesawat khas membawa aktivis itu mendarat di Athens dengan 27 warga Greece dan 134 aktivis dari 15 negara Eropah lain.

Kementerian Luar Israel pula memaklumkan, sebanyak 171 aktivis diusir ke Greece dan Slovakia, manakala 138 lagi masih ditahan di Israel. Kerajaan Slovakia mengesahkan seorang warganya pulang bersama sembilan individu lain dari Belanda, Kanada dan Amerika Syarikat.

Israel mendakwa flotilla berkenaan mempunyai kaitan dengan Hamas dan melanggar zon larangan, selain hanya membawa sedikit bantuan kemanusiaan.

Polis negara itu turut mengesahkan lebih 470 individu ditahan dalam operasi tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button