Berita Semasa

Tingkat capaian internet menerusi JENDELA – Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyatakan komitmen dalam memastikan capaian internet di negara ini sentiasa berada dalam keadaan yang stabil menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menurut Fahmi, perkara tersebut boleh direalisasikan menerusi teknologi konvergen yang menjadi jambatan yang menghubungkan dimensi baharu dalam perkhidmatan digital.

Tambah beliau, kepentingan JENDELA lebih terserlah apabila memenangi Kategori C2-Information And Communication Infrastructure: An Essential Foundation For An Inclusive Society oleh World Summit On The Information Society (WSIS) Prizes 2023.

“Ia adalah pencapaian yang membanggakan dan pelaksanaan fasa dua JENDELA dijangka bermula akhir tahun ini bagi menutup jurang tiga peratus kebolehcapaian internet,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa pada Majlis Pelancaran Converged Telecommunications Policy and Regulations (CTPR) Master Class 2023 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan, Industri komunikasi dan multimedia juga memainkan peranan penting dalam menyumbang terhadap ekonomi negara selepas kehadirannya dalam Bursa Malaysia dilihat memberikan impak positif yang cukup mendalam. 

Katanya, pada tahun lalu, sebanyak RM140.38 bilion atau 8.1 peratus telah disumbangkan hasil daripada kegiataan industri berkenaan.

“Sumbangan ini menunjukkan peranan penting industri dalam memupuk pertumbuhan ekonomi digital dan pembangunan ekosistem yang teguh.

“Melalui kemudahan saluran komunikasi dan platform multimedia yang cekap, industri ini berfungsi sebagai pemangkin kepada pelbagai sektor untuk memanfaatkan kuasa ketersambungan dan inovasi,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button