MCMC perlu segera turunkan kandungan berunsur ajaran sesat
Menteri Agama, MCMC akan bincang tempatkan pegawai hal ehwal agama Islam di suruhanjaya tersebut bagi segerakan proses kenal pasti kandungan
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) perlu bertindak pantas menurunkan sebarang kandungan berunsur ajaran sesat yang difatwakan haram di media sosial.
Sehubungan itu, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, beliau akan bertemu suruhanjaya tersebut Isnin ini bagi membincangkan penempatan seorang kader atau pegawai hal ehwal agama Islam.
“Kader ini adalah pegawai pakar, sebelum ini jika berlaku benda (unsur ajaran sesat) MCMC akan datang ke Jakim dan ini akan melambatkan proses (menurunkan kandungan),” kata Mohd Na’im.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Seminar Penghayatan Sahih Al-Bukhari dan Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan 2023 di Masjid Putra, di sini malam tadi.
Berhubung isu ajaran sesat di bawa Suhaini Mohammad (Sohai Ibnu Muhammad) atau SiHulk, Mohd Na’im berkata, pihaknya sememangnya mahu MCMC bertindak lebih pantas kerana ajaran itu sudah difatwakan haram.
“Ajaran SiHulk itu bertentangan dengan akidah. Jadi, SKMM tidak perlu lagi (bertangguh) dan boleh turunkan teruslah.
“Kadang-kadang benda (kandungan) ini orang sibuk share (kongsi) dan saya rasa itu matlamat mereka (ajaran sesat),” katanya lagi.