Sasterawan Negara Rejab F.I meninggal dunia
KANGAR – Sasterawan Negara, Rejab Ismail atau lebih dikenali dengan nama penanya, Rejab F.I meninggal dunia pada usia 84 tahun, awal pagi tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua di sisi isterinya, Fatimah Taha, 82, dan anak ketiganya, Rizal Irwandi Rejab, 50, di kediaman mereka di Tanjung Gorah, Repoh, di sini, pada pukul 3.50 pagi.
Anak sulung arwah, Ronifira Rejab, 60, berkata, bapanya sudah lama mengalami keuzuran, namun beliau tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan ketika hayatnya.
“Saya difahamkan ayah saya terjatuh ketika cuba berjalan di dalam rumahnya menyebabkan dia terpaksa dipapah ke katil oleh ahli keluarga lain.
“Ketika itulah beliau kemudian menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi emak dan adik saya,” katanya, memetik laporan Metro Online.
Menurut beliau, jenazah bapanya dijangka disolatkan di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kembung, Kampung Repoh, Kangar pada pagi ini.
Selain Ronifira dan Rizal Irwandi, Rejab turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, Rustam Affendi, 51.
Allahyarham dilahirkan di Kampung Bongkok, Padang Lati, Jalan Santan, Kangar pada 12 September 1941.
Semasa hayatnya, beliau pernah menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) bagi tahun 2016.
Allahyarham pernah berkhidmat sebagai seorang guru dan serta dianugerahkan pelbagai hadiah sastera, tokoh budaya dan juga tokoh guru seperti Hadiah Sastera Nasional 1971 (puisi), Hadiah Sastera Esso-Gapena 1985 (Cerpen), Tokoh Budaya Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Tokoh Bahasa dan Sastera Perlis 2013.
Beliau juga pernah menghasilkan 202 judul cerpen, 438 judul puisi, 328 judul rencana umum/esei, 20 judul drama radio, 15 judul drama televisyen dan empat judul drama pentas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








