BERITA SEMASAHIBURAN

Amir Raja Lawak puas hati dapat teman, jaga bapa hingga akhir hayat

KOTA BHARU – Amir Raja Lawak berpuas hati apabila dapat menemani dan menjaga bapanya, Azmi Deris, 67, sehingga akhir hayat.

Allahyarham bapanya meninggal dunia kira-kira pukul 10.52 malam tadi di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini akibat kanser usus, lapor Kosmo Online.

Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 36,berkata, beliau reda dengan pemergian Allahyarham bapanya

“Sepanjang abah sakit, saya puas hati apabila dapat menjaga, menemani dan menyelesaikan semua perkara yang berkait dengannya.

“Abah pergi menghadap ilahi selepas menjalani pembedahan menyedut air dalam paru-paru dan membuang kahak di HPUSM,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Tok Kenali, Kubang Kerian di sini hari ini.

Menurutnya, semua permintaan Allahyarham termasuk makan dan minum sepanjang sebulan dirawat di HPUSM apabila penyakit kansernya bertambah kronik, dapat beliau tunaikan.

Terdahulu, Allahyarham Azmi selamat disemadikan di tanah perkuburan berkenaan kira-kira 10 pagi tadi dengan upacara pengebumian jenazah dihadiri oleh keluarga terdekat.

Amir kemudian memberitahu, beliau kini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya sebagai ahli perniagaan dan karier dalam bidang seni selepas ini.

“Saya sepatutnya menghadiri sidang media Muzikal Lawak Superstar pada hari ini, namun hasrat itu dibatalkan apabila abah meninggal dunia malam tadi.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban semasa merawat abah sebelum ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, masih belum menerima sebarang perkembangan terkini mengenai bayaran sebanyak RM18,000 yang masih belum dilunaskan oleh sebuah stesen televisyen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button