BERITA SEMASA

Perkataan ‘kafir’, Shafie Apdal diminta buat penjelasan, mohon maaf

TENOM – Ucapan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal di Melalap baru-baru ini mengundang kritikan apabila beliau didakwa menyebut komuniti Murut sebagai ‘kafir’.

Isu yang dilaporkan oleh The Borneo Post pada 8 September lalu menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat, termasuk pemimpin negeri dan wakil komuniti Murut yang menyifatkan kenyataan itu sebagai biadab serta menjejaskan keharmonian kaum.

Ketua Bahagian UPKO Tenom, Junik Bajik antara yang paling lantang menggesa Shafie memohon maaf secara terbuka.

Beliau menegaskan, ucapan sebegitu tidak wajar dilontarkan kerana menyentuh soal sensitif yang melibatkan identiti dan kepercayaan etnik.

“Walaupun beliau mendakwa hanya tersilap cakap, kesannya cukup besar. Ia amat menghina, khususnya kepada masyarakat Murut. Malah implikasinya turut dirasai oleh kumpulan pribumi bukan Islam yang lain,” kata Junik.

Menurutnya lagi, insiden itu bukan kali pertama Shafie mencetuskan kontroversi.

Beliau mengimbas kembali kenyataan Shafie ketika memegang jawatan Ketua Menteri yang pernah menimbulkan kemarahan apabila didakwa menyebut ‘tiada satu ekor Cina dalam Kabinet’.

Gesaan agar permohonan maaf dilakukan secara terbuka itu dituntut beberapa persatuan Murut yang menyifatkan tindakan itu perlu untuk memulihkan semula kepercayaan masyarakat terhadap kepimpinan Shafie.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button