BERITA SEMASAPOLITIK

Muhyiddin nafi wujud ketegangan antara PAS, BERSATU

ALOR SETAR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan hubungan antara BERSATU dengan PAS kekal utuh tanpa sebarang masalah sepanjang tujuh tahun menjalin kerjasama.

Presiden BERSATU itu berkata, dakwaan kononnya wujud ketegangan antara kedua-dua parti itu ketika ini adalah tidak benar, sebaliknya keserasian antara BERSATU dan PAS semakin erat.

“PAS dan BERSATU mesra, cukup mesra. Mungkin ada pihak yang tidak suka kerana kita rapat, tetapi bagi saya perjalanan selama tujuh tahun ini sangat baik.

“Kita sudah cipta kejayaan besar termasuk memenangi banyak kerusi pada PRU lalu dan kerjasama di Parlimen juga sangat baik selain Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut mendapat sokongan penuh semua Ahli Parlimen PN.

“Hubungan baik PN tidak hanya di peringkat tertinggi, malah turut terjalin erat di peringkat bahagian serta akar umbi,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian selepas menghadiri perasmian Muktamar Tahunan Pas Kali ke-71 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini hari ini.

Sementara itu, Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan calon Perdana Menteri (PM) selain meneliti usul yang mahukan Pas memimpin gabungan itu.

Menurut Muhyiddin, PAS sebagai komponen terbesar PN berhak mencalonkan individu yang difikirkan sesuai untuk diangkat sebagai Perdana Menteri ke-11.

“Perkara ini adalah hak PAS untuk mencalonkan sesiapa, baik sebagai Pengerusi PN mahupun calon Perdana Menteri. Dan mereka sudah suarakan pandangan itu di muktamar ini manakala BERSATU pula pada Perhimpunan Agung lalu,” ujar Muhyiddin yang juga pengerusi PN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button