Beberapa kawasan di Hulu Langat dilanda banjir kilat
HULU LANGAT – Beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat sejak awal pagi hari ini susulan cuaca hujan di sekitar kawasan terbabit.
Antara kawasan terlibat adalah sekitar Taman Sri Nanding, Dusun Tua dan Kampung Sungai Serai, di sini.
Berdasarkan perkongsian di media sosial, beberapa kawasan dinaiki air sejak 6 pagi tadi, namun ada kawasan yang sudah mula surut.
Beberapa kenderaan dilaporkan rosak ketika cuba meredah kawasan yang dinaiki air di sekitar Kampung Sungai Serai.
Sementara itu, laman web Jabatan Pengairan dan Saliran Air (JPS) Selangor melaporkan, keadaan paras sungai di Stesen Batu 12, di sini berada pada tahap bahaya.
Stesen Kampung Pasir, Batu 15 dan Pekan Bangi Lama di sepanjang sungai Langat berada di tahap berjaga-jaga manakala kawasan lain di paras normal.
Dalam perkembangan berkaitan, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, tiada laporan kecemasan diterima setakat ini.
“Setakat ini tiada panggilan diterima tetapi kita sudah menghantar pasukan untuk membuat pemantauan di kawasan terbabit,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








