LUAR NEGARA

4 maut, 100 lagi hilang aliran lumpur landa kawasan pelancongan Dharali

UTTARAKHAND – Empat disahkan maut manakala kira-kira 100 lagi hilang apabila aliran lumpur yang disebabkan banjir kilat melanda kawasan pelancongan Dharali, di sini semalam.

Pegawai kanan tempatan, Prashant Arya, mengesahkan empat kematian, dengan pegawai lain menyatakan jumlah itu mungkin meningkat, lapor The Guardian.

Menteri Pertahanan India, Sanjay Seth, dalam kenyataannnya kepada agensi berita Press Trust of India berkata, situasi di bandar di pergunungan Himalaya itu adalah “amat serius”.

“Kami menerima maklumat mengenai empat kematian dan kira-kira 100 orang yang hilang. Kami berdoa supaya mereka selamat,” katanya.

Sementara itu, tentera India memaklumkan bahawa 150 anggota tentera telah dikerahkan ke bandar tersebut bagi membantu menyelamatkan kira-kira 20 orang yang terselamat.

Imej yang dikeluarkan tentera selepas arus utama berlalu menunjukkan sungai lumpur yang bergerak perlahan.

Sebahagian besar bandar itu ditenggelami lumpur manakala di beberapa tempat, lumpur telah mencapai bumbung rumah.

“Usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan, dengan semua sumber yang ada digerakkan untuk mengesan dan memindahkan mangsa yang masih terperangkap,” kata jurucakap tentera, Suneel Bartwal.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyampaikan ucapan takziah dan berkata bahawa “segala usaha sedang dilakukan untuk memberikan bantuan”.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami berkata, banjir itu berpunca daripada kejadian “letusan awan” yang berlaku secara tiba-tiba sambil menyifatkan kemusnahan itu sebagai “amat menyedihkan dan memilukan”.

Jabatan Meteorologi India telah mengeluarkan amaran merah untuk kawasan tersebut, dengan menyatakan bahawa hujan “amat lebat” sebanyak kira-kira 21 sentimeter (cm) direkodkan di beberapa kawasan di Uttarakhand.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button