LUAR NEGARA

Aktivis pro-Palestin berazam teruskan misi Global Sumud Flotilla ke Gaza

TUNIS – Peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) tidak akan berganjak daripada misi untuk menamatkan sekatan Israel ke atas Gaza meskipun berdepan dua serangan di Tunisia minggu ini.

Dua serangan itu berlaku pada Isnin dan Selasa malam di pelabuhan Sidi Bou Said apabila projektil dilepaskan ke arah kapal flotila.

Tiada kecederaan dilaporkan, namun penganjur mendakwa serangan dilakukan menggunakan dron.

Pihak berkuasa Tunisia mengesahkan kejadian namun menafikan pengesanan dron di ruang udaranya, sambil memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan.

Tara Reynor O’Grady, 55, aktivis hak asasi manusia dari Ireland yang menyertai konvoi flotilla itu berkata, tiada apa yang dapat menghalang pergerakan kumpulan itu apatah lagi sekadar gangguan yang mahu mencetuskan panik.

“Kami tetap jelas dengan matlamat kami iaitu sampai ke Gaza, memecahkan kepungan dan membuka laluan laut kemanusiaan,” katanya.

Ratusan sukarelawan berkumpul sejak Rabu lalu di pelabuhan tersebut untuk melakukan persiapan pelayaran.

Menurut penganjur, fasa pertama pelayaran akan melibatkan kapal-kapal dalam keadaan terbaik menuju ke satu titik di Laut Mediterranean, sebelum bertemu dengan kapal lain yang berlepas dari Itali dan Greece.

Kapal tambahan yang kini dalam perjalanan dari Barcelona akan menyertai kumpulan kedua selepas menjalani baik pulih dan dilengkapi bekalan.

Antara kapal yang diserang ialah Family yang pernah dinaiki aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg bersama beberapa anggota jawatankuasa pemandu flotila serta kapal Alma.

Tadhg Hickey, pelawak dan pembikin filem dari Ireland yang berada di atas Alma menyifatkan serangan itu hanya cubaan ‘mengganggu fokus’.

“Sebagai satu pasukan, kami kekal tenang dan berpegang pada latihan yang diberikan. Fokus utama kami ialah memecahkan sekatan tidak bermoral dan tidak sah Israel ke atas Gaza,” katanya kepada Al Jazeera.

Seorang lagi anggota jawatankuasa pemandu, Saif Abukeshek menegaskan:

“Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa dan menakut-nakutkan kami. Namun, kami tetap akan belayar ke Gaza walau apa pun halangan mereka.”

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button