BERITA SEMASADALAM NEGERI

Asyraf Wajdi komited perkukuh MARA dalam tempoh dua tahun berbaki

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kedudukan MARA dalam tempoh dua tahun berbaki sebelum tamat penggal lantikan.

Asyraf Wajdi berkata, beliau bersama barisan Majlis MARA akan memanfaatkan masa tersebut untuk memperkemas asas tadbir urus, mengukuhkan disiplin kewangan serta memastikan ketelusan pentadbiran supaya agenda Melayu-Bumiputera dapat diteruskan secara berkesan.

Asyraf Wajdi
Gambar yang dimuatnaik pelakon Azhar Sulaiman sebagai simbolik mahu Asyraf Wajdi terus ‘dipenjarakan’ di MARA demi memperkasakan agenda Bumiputera melalui pendidikan yang berkualiti dan mampan.

“Dalam tempoh berbaki ini, kami dalam Majlis MARA akan buat yang terbaik untuk memperkemaskan dan meletakkan asas-asas penting termasuk soal tadbir urus, disiplin kewangan, ketelusan pentadbiran dan sebagainya.

“Jika ini dapat dilakukan, siapapun yang menerajui MARA selepas ini tetap dapat memberi fokus kepada pembangunan pendidikan anak-anak Melayu-Bumiputera, pembangunan keusahawanan serta inisiatif ekonomi Bumiputera,” katanya dalam satu komen di Facebook.

Beliau turut menzahirkan rasa sedih apabila tempoh kepimpinannya di MARA hanya tinggal dua tahun, namun menegaskan amanah rakyat perlu dijaga sepenuhnya tanpa sebarang unsur penyimpangan, penyelewengan atau ketirisan.

Sebelum itu, pelakon versatil Azhar Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Behar berseloroh dalam statusnya di Facebook bahawa Asyraf Wajdi wajar ‘dipenjarakan’ terus di MARA kerana kejayaan yang dibawa untuk memperkasa agenda Bumiputera melalui pendidikan berkualiti.

“Dengan ini, Behar ingin mengesyorkan agar Dr. Asyraf Wajdi di ‘penjarakan’ terus ke dalam MARA dan tak keluar dah. DAWD brought a new dawn to MARA,” tulisnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button