BERITA SEMASAPOLITIK

UMNO tegur MIC hadiri perhimpunan ARMADA BERSATU

KUALA LUMPUR – UMNO menegur tindakan MIC yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) baru-baru ini kerana disifatkan mampu menjejaskan perpaduan dalam Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau mengambil maklum tindakan MIC melalui wakilnya, Timbalan Ketua Pemuda, K. Kesavan, yang menghadiri perhimpunan berkenaan.

Menurutnya, langkah tersebut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan komponen BN, khususnya UMNO, memandangkan hubungan BN dengan Bersatu mempunyai latar sejarah serta cabarannya tersendiri.

“Jemputan Bersatu kepada parti-parti komponen BN untuk hadir ke perhimpunan mereka jelas mempunyai implikasi tertentu yang boleh menjejaskan perpaduan dalam BN.

“Justeru, adalah amat penting bagi kita semua sebagai rakan lama untuk lebih berhati-hati dalam sebarang tindakan yang boleh mengundang tafsiran berbeza,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau menegaskan, UMNO sentiasa konsisten menjaga semangat setiakawan dalam BN, malah di negeri seperti Pahang di mana UMNO lebih dominan, MIC tetap diberi tempat sewajarnya dan dipertahankan atas dasar kebersamaan.

“Oleh itu, saya menyeru agar MIC bersama-sama UMNO dan parti komponen lain untuk terus memperkukuh BN, membina kembali kekuatan kita secara kolektif, serta tidak memberi ruang kepada pihak luar yang pernah meninggalkan kita ketika berdepan waktu sukar.

“Percayalah, hanya dengan semangat muafakat dan kebersamaan, BN akan kembali menjadi wadah yang kuat dan dihormati,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button