BERITA SEMASA

Pesta Pantai Bagan Lalang 2025 meriahkan Tahun Melawat Selangor

SEPANG – Pesta Pantai Bagan Lalang kembali lagi dengan pelbagai pengisian menarik sempena Tahun Melawat Selangor 2025 bagi menjadikan negeri ini destinasi pelancongan pilihan utama.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Dr Ani Ahmad berkata, pesta dwitahunan anjuran pihaknya bersama komuniti setempat itu bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan antara masyarakat dan pihak berkuasa tempatan tetapi juga sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi kawasan sekitar.

YDP MPSepang
Dr Ani memberitahu program diwtahunan itu bakal dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik untuk pengunjung. 

“Penganjuran kali ini adalah bagi menyahut tema Tahun Melawat Selangor 2025 yang memberi tumpuan untuk mengetengahkan destinasi pelancongan menarik di negeri ini.

“Pesta ini diharap dapat menarik kehadiran lebih ramai pelancong, bukan sahaja dari dalam negeri, malah dari seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pelbagai acara bakal memeriahkan sambutan pada 20 dan 21 September nanti.

“Antaranya ialah persembahan kebudayaan, sukan rakyat, Jualan Ehsan Rakyat, persembahan artis tempatan, pertandingan memasak serta cabutan bertuah,” katanya lagi.

Selain itu, aktiviti mesra keluarga seperti permainan pantai dan pameran komuniti turut diatur untuk memberi pengalaman lebih menarik kepada pengunjung.

Dr Ani berkata, acara sebegitu menjadi medium terbaik untuk memperkenalkan Bagan Lalang sebagai kawasan tarikan pelancongan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi selain terkenal sebagai lokasi tumpuan pelancong yang ingin menikmati suasana pantai.

“Justeru, saya menjemput seluruh warga Sepang dan rakyat Malaysia khasnya untuk hadir beramai-ramai ke Pesta Pantai Bagan Lalang 2025 bagi memeriahkan acara ini.

“Sokongan dan kehadiran masyarakat amat penting bagi memastikan penganjuran ini berjaya mencapai objektifnya. Jumpa anda di sana,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button