BERITA SEMASA

Dr. Ani cipta sejarah, wanita pertama terajui MPSepang

CYBERJAYA – Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) yang baharu, Dr. Ani Ahmad menetapkan tempoh maksimum tiga bulan untuk memahami secara menyeluruh cabaran dan keperluan pentadbiran daerah ini, sebelum merangka pelan tindakan lebih strategik.

Menurut beliau, masih banyak perkara yang perlu beliau fahami dalam aspek landskap pentadbiran dan pembangunan di Sepang memandangkan beliau baru memulakan tugas secara rasmi itu.

YDP MPSepang
Dr. Ani menandatangani surat watikah pelantikan selepas sesi angkat sumpah hari ini sambil diperhatikan Muhamad Shah.

“Hari ini hari pertama saya di Sepang. Dulu sewaktu di Majlis Perbandaran Ampang Jaya, saya pernah jadi Pegawai Daerah di Hulu Langat.

“Jadi saya dah tahu semua perkara. Tetapi di Sepang ini berbeza, saya ada banyak kerja yang perlu dilunaskan,” katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Angkat Sumpah YDP MPSepang di sini hari ini.

Dr. Ani turut mengulas mengenai keluasan daerah Sepang yang disifatkannya sebagai sangat besar dengan hampir 50 peratus kawasan masih dalam fasa pembangunan aktif.

Antara tumpuan awal beliau adalah menangani isu-isu mendesak seperti masalah lalat dan longgokan sampah, yang kadangkala berpunca daripada kawasan lain namun memberi kesan kepada penduduk Sepang.

BACA : MPSepang bertindak tegas, 2 lokasi pelupusan haram diserbu

“Kita akan beri perhatian pada isu-isu seperti lalat dan sampah yang kadang-kadang bukan dari kawasan kita, tapi dari daerah lain yang masuk ke Sepang,” katanya.

Bagi memastikan penyelesaian yang berkesan, Dr. Ani menegaskan pentingnya kerjasama strategik antara MPSepang dan agensi serta jabatan kerajaan lain.

“Sudah tentu kita akan adakan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak untuk tangani isu-isu ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai hala tuju kepimpinannya, beliau menyatakan bahawa visi dan misi MPSepang sedia ada akan diteruskan, namun satu bengkel semakan akan diadakan dalam masa terdekat.

“Saya akan teruskan visi dan misi sedia ada. Tapi bagi saya masih terlalu awal untuk nyatakan hala tuju baharu. Kita akan buat bengkel untuk semak semula secara menyeluruh,” katanya lagi.

Beliau turut membandingkan cabaran antara pentadbiran Ampang Jaya dan Sepang, dengan menyatakan bahawa keadaan fizikal kedua-dua kawasan adalah berbeza.

“Di Ampang, cabarannya berbeza kerana kawasannya kecil, tepu dan ada isu pembangunan di tanah tinggi serta kawasan bercerun. Di Sepang pula, mungkin lebih tenang tetapi luas dan masih dalam proses pembangunan,” jelasnya.

BACA : MPSepang tawar diskaun kompaun parkir sejak 2019 sepanjang Julai

Terdahulu, Dr. Ani mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai YDP MPSepang sekali gus memecah dominasi lelaki dalam kepimpinan tertinggi pihak berkuasa tempatan itu sejak penubuhannya pada 2005.

Dalam usia 53 tahun, beliau mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di pejabat MPSepang hari ini menggantikan Datuk Abd Hamid Hussain yang kini menyandang jawatan Datuk Bandar Klang berkuat kuasa Disember lalu.

Majlis pelantikan Dr. Ani turut disaksikan oleh Orang Kaya Maha Bijaya Daerah Sepang, Tengku Datuk Dr. Jamaluddin Tengku Mahmud Shah; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu dan Timbalan YDP MPSepang, Muhamad Shah Osmin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button