BERITA SEMASADALAM NEGERI

Maritim Malaysia terima kapal Ex-USCG Cutter Steadfast

BALTIMORE – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakar sejarah apabila menerima secara rasmi kapal Ex-United States Coast Guard (USCG) Cutter Steadfast.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, penerimaan kapal Ex-USCG Cutter Steadfast sebagai simbol kerjasama erat antara Malaysia dan Amerika Syarikat, khususnya antara Maritim Malaysia dan USCG

Menurutnya, kapal tersebut bakal memulakan pelayaran pertamanya bersama kru baharu dengan mencatat sejarah sebagai pelayaran paling jauh dan paling lama dalam sejarah Maritim Malaysia, merentasi Lautan Atlantik, Mediterranean, Laut Merah, Terusan Suez dan Lautan Hindi.

“Aset baharu itu akan meningkatkan keupayaan Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan zon maritim negara, selain memperluas ruang kerjasama dengan Amerika Syarikat dalam aspek latihan, pertukaran teknikal dan pembangunan kapasiti,” katanya

Terdahulu, penyerahan kapal USCG Cutter Steadfast daripada pihak USCG itu diserahkan dalam satu majlis penuh istiadat di Waterfront Operation Training Center (WOTC), Amerika Syarikat, semalam.

Majlis berkenaan menyaksikan Deputy Chief Acquisition Officer and Director of Domain & Integration Services USCG, Mr. James Knight menandatangani Certificate of Transfer sebelum menyerahkan kapal berkenaan kepada Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah.

Penyerahan itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman.

Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; Pengarah Bahagian Risikan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Datuk Md Fauzi Othman dan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Laksamana Pertama Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah.

Dalam ucapannya, James Knight berkata, kapal yang ditauliahkan pada 1968 itu telah berkhidmat cemerlang selama 56 tahun dan penyerahannya kepada Malaysia diharap dapat memperkukuh keselamatan maritim negara.

Pada masa sama, seramai 50 kru terdiri daripada sembilan pegawai dan 41 anggota Maritim Malaysia menerima Sijil Tamat Latihan selepas berjaya menamatkan program intensif tujuh minggu bagi pengoperasian 210’ Reliance Class Medium Endurance Cutter (MEC).

Sehubungan dengan itu, Mohd Rosli menzahirkan ucapan tahniah kepada kru Maritim Malaysia yang berjaya menamatkan latihan intensif dengan penuh komitmen serta dedikasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button