Thaksin tinggalkan Thailand menjelang keputusan mahkamah
BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dilaporkan meninggalkan negara itu secara mengejut semalam, hanya beberapa hari sebelum Mahkamah Agung dijangka membuat keputusan yang berpotensi menghantarnya semula ke penjara.
Menurut polis, Thaksin berlepas dari Lapangan Terbang Don Mueang pada pukul 7.17 malam menaiki jet peribadi bernombor T7GTS.
Beliau memaklumkan kepada imigresen bahawa destinasinya ialah Singapura, data penerbangan menunjukkan pesawat itu berpusing di Laut Andaman sebelum dipercayai menuju ke Dubai, tempat beliau pernah menetap ketika hidup dalam buangan sejak 2008.
Keberangkatan mengejut itu berlaku selepas anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra, disingkirkan daripada jawatan Perdana Menteri oleh Mahkamah Perlembagaan minggu lalu atas pelanggaran etika.
Mahkamah Agung dijadualkan bersidang pada 9 September bagi menentukan sama ada tempoh enam bulan Thaksin di hospital selepas pulang ke Thailand tahun lalu boleh dikira sebagai sebahagian hukuman penjara setahun yang dijatuhkan terhadapnya. Jika ditolak, beliau mungkin perlu kembali ke penjara.
Peguamnya, Winyat Chatmontree berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai keberangkatan itu meskipun Thaksin sebelum ini berjanji hadir ke mahkamah minggu depan.
Penganalisis politik menyifatkan tindakan itu sebagai strategi untuk mengelak penahanan, selain tanda pengaruh keluarga Shinawatra semakin merosot dalam politik Thailand.
“Untuk semua maksud dan tujuan, keluarga Shinawatra kini sudah kehabisan modal politik,” kata penganalisis Universiti Chulalongkorn, Thitinan Pongsudhirak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







