Polis Selangor sahkan pegawai, anggota ditahan kes kehilangan wang ketika serbuan
SHAH ALAM – Polis Selangor hari ini mengesahkan sepasukan pegawai dan anggotanya ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang tunai dan barangan peribadi ketika serbuan di sebuah inap desa sekitar Kajang, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mangsa merupakan seorang ahli perniagaan warga China yang menginap di kediaman tersebut.
Kejadian berlaku apabila sepasukan polis berkenaan hadir melakukan serbuan dan pemeriksaan terhadap inap desa itu setelah menerima aduan berhubung bunyi bising yang dikaitkan dengan aktiviti hiburan sehingga awal pagi.
“Apabila beliau (mangsa) balik ke rumah, dia mendapati rumah berselerak dan beberapa barangan peribadi telah tiada. Mangsa membuat laporan pada 29 Ogos.
“Beliau mengesyaki ia mungkin hilang apabila serbuan dan pemeriksaan oleh pihak IPD Kajang ekoran laporan tersebut,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Jelas beliau, ahli perniagaan tersebut menginap di kediaman itu bersama beberapa lagi penghuni yang berbeza.
Beliau kemudiannya berkata, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan kesemua mereka telah ditahan bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





