BERITA SEMASA

Menara KL lancar Glass Box (Merdeka), tarikan ikonik baharu sempena bulan kemerdekaan

KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur (KL) melakar sejarah baharu dalam sektor pelancongan berasaskan pengalaman dengan pelancaran Glass Box (Merdeka).

Ia merupakan satu tarikan unik di Sky Terrace setinggi 300 meter yang menawarkan pengalaman mendebarkan berdiri dalam kotak kaca lutsinar yang menjulur terus ke langit terbuka.

Tarikan baharu itu bukan sekadar ruang tinjauan, tetapi sebuah perjalanan deria yang membolehkan pengunjung merasai sendiri keterujaan berada dalam struktur kaca yang berlatarkan pemandangan menakjubkan Menara 118 iaitu bangunan kedua tertinggi di dunia.

Pelancaran Glass Box (Merdeka) menjadikan Menara Kuala Lumpur (KL) melakar sejarah baharu dalam sektor pelancongan berasaskan pengalaman.

Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn Bhd, Khairil Faizal Othman berkata, pelancaran Glass Box (Merdeka) menandakan era baharu pelancongan moden yang menekankan pengalaman berbanding hanya kunjungan ke mercu tanda.

“Pelancongan hari ini bukan lagi sekadar menanda lokasi, sebaliknya merasainya.

“Glass Box (Merdeka) memberi pengunjung pengalaman terbaik pelancongan berasaskan pengalaman iaitu gabungan keterujaan berada di ketinggian, keindahan reka bentuk dan kebanggaan berdiri di tengah-tengah landskap Kuala Lumpur yang terus berkembang.

“Ia bukan sahaja pengalaman, tetapi juga kenangan, emosi dan cerita yang dibawa pulang,” katanya dalam satu kenyataan.

Glass Box (Merdeka) ini menjadi simbol gabungan kisah silam, masa kini dan aspirasi masa depan Kuala Lumpur.

Dibina daripada tiga lapisan kaca berlamina temper 12mm yang menepati piawaian keselamatan antarabangsa, struktur ini boleh memuatkan sehingga enam orang pada satu masa.

Bingkai keluli berwarna rose-gold ‘Molten Sun’ yang bersinar ketika matahari terbit dan terbenam menjadikannya sebuah mercu tanda visual ikonik di langit Kuala Lumpur, sesuai untuk rakaman foto, video pendek dan perkongsian di media sosial.

Dibina daripada tiga lapisan kaca berlamina temper 12mm yang menepati piawaian keselamatan antarabangsa, struktur ini boleh memuatkan sehingga enam orang pada satu masa.

Nama Merdeka dipilih kerana dua makna utama iaitu sebagai latar ikonik Menara 118 yang melambangkan aspirasi Malaysia dan sebagai simbolik pelancarannya dalam bulan kemerdekaan negara, menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

Pelancaran itu meletakkan Menara KL sebaris dengan tarikan antarabangsa lain seperti Skydeck Ledge di Chicago dan Dubai Frame, tetapi dengan sentuhan budaya dan identiti Malaysia tersendiri.

Glass Box (Merdeka) kini dibuka kepada umum dengan tiket boleh didapati terus di kaunter Menara Kuala Lumpur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button