Kenyataan isu SARA dimanipulasi dengan niat jahat – Fuziah Salleh
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh menafikan dakwaan kononnya beliau menganggap bantuan Kotak Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 mampu menampung keperluan sebulan bagi warga emas tanpa memahami kesusahan rakyat.
Menurut Fuziah, laporan media berhubung ucapannya itu telah dimanipulasi oleh pihak tertentu dengan niat jahat sehingga mencetuskan salah faham dan kecaman di media sosial.
“Saya amat terkilan apabila kenyataan saya dipetik di luar konteks sehingga memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak memahami penderitaan rakyat.
“Media sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan menyiarkan ucapan penuh supaya mesej sebenar sampai kepada rakyat.
“Saya percaya ada pihak yang berniat jahat kerana pandangan saya jelas dimanipulasi,” katanya memetik laporan BH online.
Fuziah berkata, ucapan asalnya merujuk kepada nilai sumbangan SARA sebanyak RM100 yang diberikan kerajaan untuk pembelian barangan asas.
“Jika pembelian dibuat dengan bijak seperti beras, minyak masak, gula, tepung, telur, kicap dan barangan lain dalam pakej SARA, ada warga emas yang tidak mempunyai ramai tanggungan mungkin boleh menampung keperluan hampir sebulan.
“Namun begitu, ia bergantung kepada bilangan isi rumah serta tanggungan masing-masing,” jelasnya lagi.
Fuziah turut berkata, kerajaan Madani komited dalam menjaga kebajikan rakyat dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.
“Kerajaan tidak akan berhenti berusaha memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








