BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Kerajaan salur RM12.38 juta perkukuh industri media tempatan

PUTRAJAYA – Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi terus memperkukuh komitmen dalam menyokong kelangsungan serta transformasi industri media tempatan dengan menyalurkan Dana Inovasi Media Fasa 1 kepada 34 organisasi media melibatkan pembiayaan keseluruhan berjumlah RM12,383,960.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Komunikasi memaklumkan pembiayaan itu merupakan inisiatif strategik kerajaan bagi memperkukuh ekosistem industri media tempatan agar kekal berdaya saing, inovatif serta mampu mendepani perubahan pesat dalam landskap digital.

“Industri media ketika ini sedang melalui fasa perubahan signifikan susulan perkembangan teknologi digital, perubahan corak penggunaan maklumat oleh masyarakat serta cabaran terhadap model perniagaan.

“Justeru, Dana Inovasi Media diperkenalkan kerajaan bagi membantu organisasi media meneroka pendekatan baharu, memanfaatkan teknologi serta memperkukuh keupayaan untuk terus kekal relevan,” katanya dalaam kenyataan itu.

Terdahulu, surat tawaran dana tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dalam satu majlis di Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Related Articles

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathra.

Menurut Kementerian Komunikasi, Dana Inovasi Media Fasa 1 yang dibuka kepada permohonan dari 1 hingga 14 Januari 2026 menerima sambutan menggalakkan daripada organisasi media di seluruh negara dengan sebanyak 50 permohonan diterima.

Daripada jumlah tersebut, katanya, 34 organisasi media dipilih sebagai penerima selepas melalui proses penilaian yang teliti dan menyeluruh berdasarkan cadangan projek yang dikemukakan.

“Dana itu diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi dalam industri media negara, sekali gus membantu memastikan kelangsungan ekosistem dan penggiat media tempatan dalam landskap industri yang semakin dinamik,” tambahnya.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan industri media negara terus berkembang secara mampan serta mampu memanfaatkan peluang baharu dalam era digital.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button