Murid jatuh tingkat 3 asrama: Keadaan mangsa dimaklumkan kepada keluarga sebaik tiba di hospital – KP Pendidikan
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pihaknya telah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dalam menguruskan insiden murid jatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah di Sabak Bernam, Selangor, awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, keutamaan pihak sekolah ketika itu adalah memastikan murid berkenaan segera mendapat rawatan di hospital.
“Pada pukul 3.20 pagi ambulans tiba di sekolah untuk mengambil murid ini dan kira-kira 3.40 pagi mangsa sampai ke Hospital Sabak Bernam. Tumpuan utama kami adalah keselamatan murid itu terlebih dahulu sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan ahli keluarga mangsa bahawa pihak sekolah lambat memaklumkan kejadian tersebut. Mereka mendakwa hanya dimaklumkan sekitar pukul 4 pagi, sedangkan insiden berlaku kira-kira pukul 2 pagi.
Mengulas perkara itu, Dr. Mohd Azam menjelaskan bahawa pihak sekolah telah memaklumkan kepada keluarga selepas mangsa tiba di hospital.
“Di hospital, makluman diberikan terus kepada bapa murid berkenaan. Namun begitu, kita akan tetap jalankan siasatan dalaman dan menunggu hasil siasatan polis,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, beliau sendiri sempat menziarahi murid terbabit yang kini dirawat di Hospital Sungai Buloh dan dimaklumkan bahawa mangsa sedang ditidurkan bagi rawatan kecederaan di bahagian kepala dan otak.
Dalam masa sama, KPM akan menghantar pasukan kaunselor ke sekolah berkenaan bagi memberi sokongan moral dan psikososial kepada warga sekolah.
“Saya juga minta pihak sekolah mengadakan bacaan Yasin serta solat hajat mendoakan keselamatan dan kesembuhan murid ini,” katanya lagi.
Mengulas berkaitan SOP asrama, Dr. Mohd Azam menegaskan bahawa semua bilik asrama diwajibkan menutup lampu pada pukul 10 malam dan tiada sebarang aktiviti dibenarkan selepas itu kecuali program rasmi yang diselia guru.
“Selepas pukul 10.30 malam, elektrik ditutup dan pelajar perlu berehat kerana pada 5.30 pagi mereka akan dikejutkan untuk solat Subuh berjemaah,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













