BERITA SEMASAPMX

AI mesti tingkat kecekapan, bukan lebarkan jurang – PM

NILAI – Transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) harus menjadi pemangkin meningkatkan kecekapan negara, bukan faktor yang melebarkan jurang dalam masyarakat, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dalam keghairahan mengejar teknologi dan disiplin baharu, negara tidak boleh mengabaikan aspek akhlak serta jati diri bangsa.

“Transformasi digital dan kecerdasan buatan mesti menjadi wahana yang memperkukuh tahap khidmat kita kepada rakyat mengangkat produktiviti dan memperluas pendedahan rakyat kepada dunia dan ilmu baharu.

“AI dan lapangan digital harus meningkatkan kecekapan, bukannya melebar jurang. Ilmu baharu mesti kita kuasai, menggapai langit tetapi utuh mengakar ke bumi, yakni berpaut pada nilai dan budaya sendiri,” katanya ketika merasmikan Program MADANI Rakyat 2025 peringkat Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Anwar Ibrahim semasa Program MADANI Rakyat di Nilai, Negeri Sembilan. Foto : Pejabat Perdana Menteri.

Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Anwar menambah, pengalaman negara sewaktu komputer mula diperkenalkan pada 1980-an menjadi pengajaran bahawa cabaran teknologi kini jauh lebih besar dan menuntut persediaan menyeluruh.

“Benteng pertahanan tidak hanya terhad pada teknologi semata-mata tetapi juga mesti mencakup rumah dan masyarakat,” katanya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menegaskan iltizam politik kerajaan selepas terjelmanya Akta Tanggungjawab Fiskal yang memastikan kerajaan lebih bertanggungjawab kepada Parlimen, selain Akta Perolehan Kerajaan yang menuntut ketelusan dalam perolehan serta kontrak.

Beliau berkata, Negeri Sembilan dengan kekuatan budaya setempat kini menjadi tapak penting untuk menzahirkan keseimbangan antara kemajuan teknologi dan nilai bangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button