BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Tiga remaja tertimbus tanah tebing sungai di Keningau

 

KENINGAU – Tiga remaja lelaki berdepan detik cemas apabila tertimbus tanah ketika leka bermain di tebing sungai Kampung Baginda, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian pukul 1.16 tengah hari itu, semua mangsa berusia 12 hingga 13 tahun dilaporkan menggali tanah di tebing sungai sebelum berlaku runtuhan.

Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Raizaain Ag Damit berkata, orang awam bertindak pantas mengeluarkan ketiga-tiga mangsa sebelum pasukan bomba tiba.

“Seorang mangsa berusia 13 tahun cedera dan dihantar ke hospital, manakala dua lagi tidak cedera dan pulang ke rumah masing-masing.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 3.10 petang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Sementara itu, Raizaain menasihatkan orang ramai tidak melakukan aktiviti di tebing sungai, cerun curam atau kawasan tanah tidak stabil yang berisiko runtuh, terutama selepas hujan.

Beliau juga menasihati kanak-kanak supaya tidak menggali tanah atau bermain di kawasan berisiko kerana ia boleh mendatangkan bahaya tertimbus tanpa amaran.

“Ibu bapa dan penjaga pula perlu sentiasa memantau aktiviti anak-anak serta memberi nasihat awal mengenai bahaya tersembunyi di kawasan sungai atau berbukit,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button