KDN ambil keterangan tiga individu dari portal berita
KUALA LUMPUR – Tiga individu daripada sebuah syarikat penerbitan portal dipanggil memberi keterangan berhubung siasatan penerbitan artikel dengan tajuk berbaur fitnah mengenai kematian wartawan Al Jazeera, Anas Al-Sharif, serangan Zionis di Gaza pada 12 Ogos lalu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan berkata, siasatan dijalankan terhadap syarikat penerbitan berkenaan selepas artikel tersebut mencetuskan kekeliruan serta menimbulkan keresahan masyarakat.
Menurut KDN, siasatan difokuskan kepada penerbitan tidak diingini yang berpotensi menggugat ketenteraman awam dan berkemungkinan melanggar syarat permit di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
“Siasatan difokuskan kepada penerbitan tidak diingini yang berpotensi menggemparkan fikiran orang ramai, menggugat ketenteraman awam serta melibatkan kemungkinan pelanggaran syarat permit di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
“KDN memandang serius perbuatan menyiarkan artikel tersebut yang menimbulkan kekeliruan, rungutan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Justeru, syarikat akhbar adalah diingatkan supaya lebih teliti, bertanggungjawab dan beretika dalam penerbitan berita selain memastikan kandungan tidak menimbulkan kontroversi atau menyentuh sensitiviti awam,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kesalahan menyiarkan berita tidak benar, mengelirukan atau penerbitan dikategorikan sebagai tidak diingini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, penerbitan berkenaan juga berdepan risiko pembatalan permit jika didapati bersalah.
“KDN tidak sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa-apa hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
“Tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil selepas siasatan dilengkapkan,” jelas kenyataan itu.
PAda 12 Ogos lalu, Sarawak Tribune menerbitkan artikel kontroversi berkaitan kematian wartawan Al Jazeera, Anas Al-Sharif menerusi edisi cetaknya bertajuk “Militant Using Press Cover Eliminated”.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








