BERITA SEMASA

ADUN Duyong luah kecewa akaun insurans ibu ditamatkan, seru orang ramai peka

MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem meluahkan rasa kecewa selepas salah satu akaun insurans milik ibunya ditamatkan akibat kegagalan bayaran yang berlaku tanpa disedari.

Dalam perkongsian di laman Facebook, beliau menceritakan pengalaman peribadinya berhubung isu tersebut yang menurutnya berpunca daripada salah faham dengan pihak ejen insurans.

Tangkap layar perbualan Mohd Noor Helmy bersama ejen insurans beliau.

“Biasanya bila terima surat insurans dalam bahasa Inggeris, saya akan rujuk pada ejen. Apa ejen kata, itulah yang saya ikut.

“Kadang-kadang tambah bayaran, kadang-kadang opsyen bayar, kadang-kadang tak perlu buat apa-apa. Tapi tahu-tahu dapat surat kata akaun insurans ibu saya kena terminate (ditamatkan),” katanya.

Menurutnya, salah satu daripada sembilan akaun insurans yang diuruskan iaitu tujuh kad perubatan dan dua insurans hayat ditamatkan selepas simpanan yang ada habis digunakan untuk menampung bayaran tertunggak.

Lebih mengecewakan katanya, apabila beliau membuat rayuan untuk mengaktifkan semula polisi, beliau perlu melalui proses pemeriksaan kesihatan berulang kali, termasuk pemeriksaan perubatan tambahan serta ujian air kencing.

“Layankan juga semua syarat tu, tapi akhirnya keputusan tetap ditolak. Declined. Nak kata apa? Yang saya sedih, ini melibatkan akaun insurans ibu saya,” katanya lagi.

Katanya, walaupun pada asalnya tidak mahu berkongsi mengenai perkara itu beliau memilih untuk memberi kesedaran kepada orang ramai yang mungkin berdepan dengan perkara sepertinya.

“Tapi hati sakit tergantung-gantung dan rasa nak memaki saja. Jadi kalau tak nak memaki, kita luahkan dalam bentuk ilmiah. Sebab kalau tak luah, boleh kena darah tinggi sakit jantung,” ujarnya dengan nada sinis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button