Anak panah tersasar kena kereta, latihan memanah ditangguh sementara
GEORGETOWN – Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang mengesahkan insiden anak panah tersasar yang mengenai sebuah kereta orang awam di Jalan Macalister, pada 13 Ogos lalu berpunca daripada latihan atlet memanah di bawah program pembangunan SUKMA.
MSN berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku akibat masalah teknikal pada peralatan memanah atlet terbabit sehingga menyebabkan anak panah melepasi zon keselamatan yang ditetapkan.
“Insiden tersebut merupakan kemalangan tidak disengajakan dan pertama kali berlaku sejak latihan memanah berprestasi tinggi dilaksanakan di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Residensi pada tahun 2009.
“Latihan sukan memanah di SK Jalan Residensi ditangguhkan serta-merta mulai tarikh kejadian sehingga langkah keselamatan tambahan dilaksanakan di lapang sasar memanah berkenaan.
“MSN juga sedang mengenal pasti beberapa lokasi lain bagi dijadikan pusat latihan memanah baharu sebagai persediaan pasukan negeri menghadapi SUKMA XVII Selangor 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MSN turut berkata, SK Jalan Residensi serta pihak pengurusan sekolah berkenaan tidak terlibat secara langsung dengan program latihan memanah tersebut kerana ia dikendalikan sepenuhnya oleh MSN Pulau Pinang bersama Persatuan Memanah Negeri Pulau Pinang.
Dalam pada itu, MSN memaklumkan pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada polis yang sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















