AUTOMOTIF & TEKNOLOGIGAYA HIDUPRENCANA

AI dan mahasiswa: Antara etika, cabaran dan peluang

DALAM dunia pendidikan tinggi hari ini, kehadiran kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sesuatu yang asing.

Mahasiswa kini semakin terdedah kepada teknologi generatif seperti Generative AI dan Large Language Model (LLM) yang memudahkan tugasan, mempercepatkan proses penulisan dan membantu menghasilkan idea baharu.

Namun, di sebalik manfaat itu, muncul persoalan tentang etika dan batas penggunaan teknologi ini.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Pengkomputeran dan Perunding Perancangan Strategik ICT, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ts Dr Surya Sumarni Hussein berkata, penggunaan AI tidak boleh disekat, sebaliknya mahasiswa perlu dibimbing agar menggunakan ia dengan cara yang betul.

Dr Surya menegaskan penggunaan AI tidak boleh disekat, tetapi para mahasiswa perlu dibimbing menggunakannya dengan betul.

“Kita tidak boleh mengekang teknologi ini dan juga tidak boleh mengatakan pelajar sama sekali tidak boleh menggunakan AI.

“Sebaliknya, sebagai pensyarah, kita mesti mengajar etika penggunaannya. Mereka perlu menyatakan sumber dan penilaian juga boleh diubah kepada bentuk kajian kes yang memerlukan mereka berfikir, bukan sekadar bergantung kepada AI,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Simposium Penyelidikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) 2025 di Sepang, hari ini.

Dr Surya mengingatkan bahawa kecenderungan pelajar bergantung sepenuhnya kepada AI boleh membawa risiko.

“Ini termasuklah menerima jawapan yang tidak berpijak pada realiti atau berdepan masalah hallucination iaitu maklumat yang dicipta tanpa asas kukuh.

“Justeru, golongan pensyarah juga dituntut untuk meningkatkan pengetahuan agar dapat membimbing mahasiswa secara lebih berkesan,” ujarnya.

Dr Surya membentangkan topik berkaitan Kajian Potensi AI Generatif dan LLM dalam Memperkasa Pengurusan Pengetahuan MCMC.

Dalam pembentangannya, Dr Surya turut menyentuh bagaimana MCMC bergerak ke arah penerimaan Generative AI dan LLM.

Menurut beliau, teknologi dan kesedaran sudah ada dalam organisasi tersebut namun cabaran tetap wujud apabila terdapat perbezaan generasi dalam kalangan pegawai iaitu ada yang masih kurang percaya terhadap hasil yang dijana oleh AI.

“Masalah ini boleh diatasi melalui sesi meningkatkan kesedaran dan latihan secara berterusan.

“Secara keseluruhannya, saya berpandangan MCMC bersedia untuk mengadaptasi AI dan LLM dengan sokongan daripada program latihan semula, model pemantauan serta kesedaran etika dalam penggunaannya,” jelas beliau.

Mengulas tentang penganjuran Simposium Penyelidikan MCMC, Dr Surya melihatnya sebagai wadah penting dalam menyatukan penyelidik, pensyarah dan pelajar.

Penganjuran Simposium Penyelidikan MCMC 2025 ini mampu memberi manfaat kepada dunia akademik dan penyelidikan negara.

“Saya rasa simposium ini sangat bagus. Ini kali kedua saya hadir dan ia menjadi medium kolaborasi yang berkesan.

“Kita dapat menemui bidang baharu penyelidikan, menjalin rangkaian (networking) dan melihat sudut pandang yang berbeza.

“Penyelidikan juga tidak seharusnya sekadar teori, tetapi mesti memenuhi keperluan organisasi dan masyarakat,” katanya.

BACA : Simposium Penyelidikan MCMC 2025: Raikan pendidikan, pacu kemajuan digital negara

Beliau berharap usaha MCMC menganjurkan simposium sebegini wajar diteruskan kerana ia memberi manfaat besar kepada dunia akademik dan penyelidikan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button