MCMC perluas akses teknologi, perkukuh pembangunan komuniti pedalaman melalui Nadi On Wheels
SINDUMIN – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh komitmen dalam memperluas akses teknologi digital dan pembangunan komuniti pedalaman menerusi pelancaran Nadi On Wheels (NOW) peringkat Negeri Sabah.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pekan Sindumin, Sipitang, di sini hari ini.
“Inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi ini merupakan langkah strategik kerajaan bagi memastikan komuniti luar bandar tidak tercicir daripada arus kemajuan negara.
“Ia selaras dengan semangat NADI untuk membawa kemajuan, ilmu dan keterhubungan digital ke setiap pelosok tanah air,” kata Fahmi dalam kenyataan.
Tambah beliau, NOW kini berfungsi sebagai pusat bergerak berteknologi tinggi yang dilengkapi dengan satelit Starlink berkelajuan sehingga 250 Mbps, komputer riba, tablet, projektor, tenaga solar mudah alih serta sistem Wi-Fi percuma.
“Melalui kemudahan ini, masyarakat pedalaman dapat menikmati akses kepada pelbagai perkhidmatan digital termasuk aktiviti latihan, pembelajaran komuniti dan program Perkhidmatan Pintar NADI,” ujarnya.

Selain menyediakan kemudahan digital, NOW juga menyantuni golongan rentan seperti rumah anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU), masyarakat Orang Asli serta komuniti terpencil agar mereka turut merasai manfaat kemajuan teknologi dan komunikasi moden.
Keberkesanan usaha itu turut dibuktikan melalui pencapaian NADI Pulau Banggi yang menerima pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi kategori “Capacity Building” di World Summit on the Information Society (WSIS) 2025 di Geneva.
“Ia satu kejayaan yang mengangkat nama Malaysia sebagai negara proaktif dalam memperkasa komuniti melalui teknologi digital,” tambahnya.
Majlis pelancaran turut menyaksikan pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Sipitang dan Beaufort yang akan memantau operasi, menyalurkan pandangan strategik serta memastikan pelaksanaan program NADI terus memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Sambutan Hari Bersama Komuniti (HBK) di NADI Sindumin juga dimeriahkan dengan pameran keusahawanan komuniti, program kesedaran digital serta pemeriksaan kesihatan percuma.

Program itu dijayakan dengan kerjasama strategik PERKESO, MyFutureJobs dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) yang turut melaksanakan segmen bimbingan kerjaya dan kesejahteraan komuniti.
“Inisiatif NOW diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan kemahiran, ilmu dan sosioekonomi masyarakat luar bandar, sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memastikan setiap lapisan rakyat menikmati peluang yang sama dalam memperkukuh taraf hidup serta kesejahteraan melalui akses teknologi dan maklumat,” kata Fahmi lagi.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin serta Pegawai Daerah Sipitang, Abd Karim A.M Zahari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







