BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

SPRM gempur sindiket seludup tembakau, rugikan negara lebih RM250 Juta

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur rangkaian syarikat yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan tembakau, rokok dan cerut yang mengakibatkan kerajaan kerugian cukai melebihi RM250 juta sejak 2020 hingga 2024.

Operasi bersepadu dikenali sebagai Op Sikaro itu diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di 14 lokasi sekitar Lembah Klang dan Johor, semalam.

Menurut sumber, serbuan dilakukan terhadap premis perniagaan serta pemilik syarikat yang menjalankan aktiviti berkaitan tembakau, cerut dan pembekalan minuman keras.

Sindiket berkenaan juga dipercayai mempunyai kaitan dengan pegawai agensi penguat kuasa yang kini sedang disiasat.

“Hasil operasi, SPRM membekukan akaun peribadi dan syarikat membabitkan nilai kira-kira RM218 juta. JKDM turut menggantung lesen import beberapa syarikat yang dikenal pasti terlibat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Sumber turut mendedahkan sindiket berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan pegawai agensi penguat kuasa dan siasatan kini tertumpu kepada pengesanan serta penyitaan aset lain melalui aktiviti pengubahan wang haram.

Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika mengesahkan operasi itu berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button