BERITA SEMASA

Ketua Polis Negara dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang Singapura

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang Singapura sebagai pengiktirafan atas sumbangannya ketika memegang jawatan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pingat berprestij itu disampaikan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam dalam satu majlis rasmi di Kementerian Dalam Negeri negara itu, semalam.

Menurut hantaran di Facebook rasmi PDRM, penganugerahan tersebut mencerminkan penghargaan terhadap peranan dan komitmen Mohd Khalid dalam memperkukuh kerjasama profesional antara Cawangan Khas Malaysia dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura.

“Usaha itu telah memberi sumbangan besar kepada keselamatan bersama kedua-dua negara dan juga rantau ini,” kata kenyataan itu.

Sempena lawatan rasmi berkenaan, Mohd Khalid turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Pesuruhjaya Polis Singapura, Hoong Wee Teck di Ibu Pejabat Pasukan Polis Singapura (SPF), New Phoenix Park.

“PDRM menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Mohd Khalid atas penganugerahan itu yang membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan, dedikasi serta jasa beliau dalam bidang keselamatan dan perisikan negara,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button