Akaun TikTok sebar maklumat tidak tepat kematian Zara Qairina disiasat polis
KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan terhadap satu akaun TikTok yang dipercayai menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, akaun TikTok @berjuanguntukzara dikenal pasti memuat naik kandungan yang tidak tepat serta tidak sahih berkaitan kes berkenaan.
“Sehubungan itu, PDRM menyeru orang ramai menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut kerana boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Penularan kandungan yang tidak sahih tersebut berpotensi menjejaskan kelancaran serta keberkesanan proses siasatan oleh pihak PDRM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan membuat kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan atau kegentaran dalam kalangan orang awam.
Katanya lagi, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang melibatkan kesalahan penyalahgunaan kemudahan rangkaian serta kandungan berunsur hasutan kebencian terhadap mana-mana pihak sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








