BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Inflasi keseluruhan turun 1.3 peratus, inflasi teras stabil pada 1.8 peratus – BNM

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan inflasi keseluruhan menurun kepada 1.3 peratus, manakala inflasi teras kekal stabil pada 1.8 peratus pada suku kedua 2025, berbanding 1.5 peratus dan 1.8 peratus pada suku sebelumnya.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, penurunan itu sebahagian besarnya dipacu oleh harga bahan api yang lebih rendah, termasuk petrol RON97 dan diesel berbanding suku pertama tahun ini.

Menurut beliau, kenaikan harga item berkaitan makanan juga menjadi lebih perlahan, iaitu 2.2 peratus berbanding 2.5 peratus pada suku sebelumnya, khususnya bagi makanan segar dan makanan di luar rumah.

“Keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan harga yang lebih perlahan untuk perkhidmatan komunikasi mudah alih, dengan purata -12.1 peratus,” katanya memetik laporan Berita Harian.

sst
Kenaikan harga item berkaitan makanan juga lebih perlahan iaitu 2.2 peratus berbanding 2.5 peratus suku sebelumnya. – Gambar hiasan

Abdul Rasheed menjelaskan, rebakan inflasi yang diukur berdasarkan bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan, turut mengalami sedikit penurunan susulan harga komoditi global yang lebih rendah.

“Namun begitu, kenaikan ini secara umumnya kekal selaras dengan purata jangka panjang bagi suku kedua,” jelasnya pada sidang media Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia Suku Kedua 2025, di sini hari ini.

BNM mengunjurkan inflasi keseluruhan berada pada purata antara 1.5 peratus hingga 2.3 peratus bagi tahun ini, dipengaruhi oleh keadaan kos dan permintaan yang sederhana.

Unjuran tersebut disemak kepada julat yang lebih rendah berbanding anggaran pada Mac 2025, berikutan prospek kos dan permintaan yang lebih terkawal.

“Tekanan inflasi daripada harga komoditi global dijangka kekal terhad dan menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang sederhana.

“Dalam persekitaran ini, kesan langkah-langkah dasar dalam negeri terhadap inflasi dijangka kekal terkawal,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button