Berita Semasa

Tidak munasabah tiada elemen rasuah – Azam Baki

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan dakwaan bahawa tiada elemen rasuah ditemukan dalam isu wanita China yang dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, sebagai tidak munasabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ini adalah kerana pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap isu berkenaan.

“Siasatan kes ini masih dijalankan dan saya tak mahu ada pihak tertentu membuat spekulasi mengandaikan tiada elemen rasuah sedangkan siasatan masih belum selesai.

“SPRM baru jalankan siasatan dalam lima hingga enam hari, jadi munasabahkah dalam tempoh ini kita boleh menyelesaikannya (siasatan)?” katanya kepada portal Sinar Harian, hari ini.

Azam berkata, semua pihak termasuk pengamal media perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan walaupun merujuk kepada sumber.

Sebelum ini, sebuah portal yang memetik sumber melaporkan, pihak SPRM tidak menemukan sebarang elemen rasuah dalam kes berkenaan.

Dalam pada itu, Azam Baki berkata, pihaknya telah memanggil syarikat yang dilantik untuk menguruskan warga asing yang dikenakan Notis Tolak Kemasukan (NTL).

“Ya, kita telah panggil pihak syarikat dan saksi berkaitan untuk bantu siasatan,” ujarnya.

Mengenai individu yang dipercayai menjadi ejen membawa masuk warga China semasa insiden kekecohan terbabit, Azam berkata, usaha mengesannya masih dijalankan.

Show More

Related Articles

Back to top button