Jenayah & Mahkamah

Polis temukan mayat dalam keadaan terikat, perut dibelah

BATU KAWAN – Satu mayat dalam keadaan tangan, kaki dan leher terikat dengan batu ditemukan terapung berhampiran Jeti Bagan Bukit Tambun pada pukul 11.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Ng Ah Thiam berkata, polis yang menerima laporan mengenai penemuan itu terus ke lokasi untuk siasatan lanjut.

Siasatan awal mendapati, mayat tanpa identiti itu turut mempunyai kesan belahan di bahagian perut, dipercayai akibat senjata tajam.

“Mangsa memakai baju berkolar, lengan pendek berwarna merah dan seluar ‘boxer’ berwarna hitam. Setakat ini identiti mangsa masih belum diketahui,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kata beliau, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau ahli keluarga yang hilang diminta untuk segera tampil memberi keterangan atau menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintenden Mohd Hafiz Mohd Noor di talian 019-465 0777 atau hotline Polis SPS (04-5858222) atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (04-2221522) atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button