RM2.1 juta baik pulih pondok daif di Kelantan – Anwar
BACHOK – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan lebih RM2.1 juta bagi membaik pulih beberapa pusat pengajian pondok daif di Kelantan.
Anwar berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau meneliti keadaan beberapa pondok sebelum menghadiri majlis di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan di Bachok, malam tadi, bagi memenuhi undangan Tuan Guru Sheikh Wazir Al-Maki.

“Kerja baik pulih ini akan dimulakan dalam beberapa minggu akan datang. Ini sebahagian daripada usaha Negara MADANI untuk membangunkan bangsa berasaskan keyakinan dan akhlak,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dalam ucapannya, Anwar menyingkap sejarah perjuangan Islam ketika era penjajahan di seluruh dunia termasuk di Tanah Melayu, Indonesia, India dan Mesir, apabila sistem ekonomi dan pendidikan dikuasai penjajah serta berlaku penjajahan jiwa dan pemikiran seperti yang disebut ulama terkenal, Sheikh Muhammad Al-Ghazali.

Menurut beliau, ketika seluruh sistem runtuh, institusi pondok dan pesantren menjadi benteng akidah, ilmu serta perjuangan umat.
Sehubungan itu, gagasan MADANI yang dibawanya memberi penekanan kepada pembaharuan sistem pendidikan bagi memperkukuh jati diri pelajar, antaranya dengan memastikan semua pelajar Islam di sekolah mempelajari al-Quran dan Matan Arbain Hadis 40 Imam Nawawi, bukan hanya di sekolah agama atau pondok.
“Selepas bertemu guru-guru pondok di Malaysia, Indonesia dan Pattani, saya sedar benteng ilmu ini makin luntur kerana kekangan perkembangan dan perhatian kerajaan yang lebih tertumpu kepada sekolah arus perdana.
“Dengan bimbingan para guru serta teguran dan kritikan membina, Insya-Allah kita akan terus memperbaiki kekurangan ini demi kemaslahatan umat dan kemuliaan negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








