BERITA SEMASA

2 pelancong Malaysia melecur dibakar lelaki dipercayai tertekan akibat kehilangan pekerjaan

BANGKOK – Dua pelancong Malaysia dilaporkan cedera setelah dibakar seorang lelaki dipercayai tertekan akibat kehilangan pekerjaan.

Laporan Bangkok Post yang memetik kenyataan Ketua Polis Lumpini, Kolonel Yingyos Suwanno berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam semalam.

“Ketika kejadian, dua pelancong berkenaan sedang duduk di tangga pusat beli-belah Big C di Jalan Ratchadamri, di sini.

“Suspek yang berada di belakang mangsa dengan tiba-tiba menuang bahan (dipercayai) pelarut kimia dari botol plastik ke atas mereka,” katanya, hari ini.

Oleh kerana terkejut, kedua-dua pelancong itu cuba melarikan diri namun dikejar suspek yang kemudiannya menyalakan api.

“Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah dan kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan, katanya lagi.

Suspek kemudiannya berjaya ditahan orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Kolonel Suwanno berkata, suspek dikenal pasti sebagai Varakorn Pubthaisong yang merupakan bekas petinju dan pengawal keselamatan.

“Ketika soal siasat, suspek mengakui bertindak secara rambang kerana tertekan selepas dipecat daripada kerja,” katanya lagi.

Suspek kini ditahan di Balai Polis Lumpini dan bakal berdepan pertuduhan mencederakan.

Kedua-dua pelancong Malaysia yang cedera dalam kejadian itu dinamakan sebagai Ong Yik Leong, 26, dan Gan Xiao Zhen, 27.

“Kedua-duanya mangsa berada dalam keadaan stabil dan akan diambil keterangan,” kata Kolonel Suwanno lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button