POLITIK

Pelantikan Ketua, Timbalan Ketua Wanita PKR negeri dimuktamadkan

KUALA LUMPUR – Biro Politik Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat memuktamadkan pelantikan Ketua dan Timbalan Ketua Wanita PKR bagi semua negeri serta beberapa pelantikan tambahan di peringkat pusat bagi penggal 2025 hingga 2028.

Ketua Wanita PKR Pusat, Fadhlina Sidek berkata, keputusan tersebut dibuat selepas melalui proses rundingan dan penilaian menyeluruh yang mengambil kira faktor kepimpinan akar umbi, pengalaman serta kemampuan menggerakkan jentera wanita secara berkesan.

“Pelantikan ini juga menekankan keseimbangan representasi antara etnik agar suara dan aspirasi wanita dari pelbagai latar belakang dapat diangkat secara adil dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara yang dilantik sebagai Ketua Wanita Negeri termasuk Gan Ay Ling (Perlis), Marduwati Mazlan @ Mazlani (Kedah), Jayanti Kandayah (Pulau Pinang), Zuraidah Zakaria (Perak), Jamilah Awang (Wilayah Persekutuan), Salasiah Md Disa (Selangor), Rosmawaty Muhamad Ros (Negeri Sembilan), Mahani Masban (Melaka), Noor Fatimah Yusoff (Johor), Mazalina Ibrahim (Kelantan), Armila Alias (Terengganu), Sridayu Samsuri (Pahang), Victoria Musa (Sarawak) dan Datin Rufinah Pengeran (Sabah).

Pelantikan turut melibatkan Timbalan Ketua Wanita Negeri yang mewakili latar belakang berbilang kaum bagi memperkukuh kekuatan Wanita PKR di setiap negeri.

Di peringkat pusat, Noraziah Mohd Razit dan Rodziah Abul Khassim masing-masing dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Wanita PKR Pusat, manakala Datuk Ginie Lim Siew Lin dilantik sebagai Ketua Penerangan.

Fadhlina berkata, gabungan pengalaman dan semangat juang barisan baharu itu diyakini mampu memperkasa organisasi Wanita PKR serta membawa suara wanita dengan lebih progresif dan berkesan.

“Barisan kepimpinan ini diharap dapat memacu gerak kerja yang lebih tersusun dan menjadi peneraju dalam memperkukuh kekuatan parti serta membawa agenda wanita secara menyeluruh di negeri masing-masing,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button