BERITA SEMASA

Isu air berbau petai berpunca daripada ketidakaturan kandungan semula jadi – Spritzer Berhad

CYBERJAYA – Pengeluar air mineral, Spritzer Berhad, mengakui sebahagian daripada produk keluarannya mempunyai bau yang kurang menyenangkan sebelum ini susulan ketidakaturan kandungan semula jadi di sumber air.

Spritzer dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan komprehensif yang melibatkan semakan dalaman terperinci, ujian makmal bebas, serta penilaian terhadap kaedah penyimpanan dan pengendalian.

“Hasil siasatan mengesahkan bahawa bau tersebut berpunca daripada ketidakaturan sementara dalam kandungan semula jadi yang terdapat di dalam sumber air, yang menjadi lebih ketara selepas proses pengeluaran dan pendedahan kepada cuaca panas semasa penghantaran atau penyimpanan.

“Spritzer menekankan bahawa hanya sebahagian kecil botol yang dihasilkan antara bulan Jun dan Julai 2025 terjejas.

“Hasil ujian yang dijalakan oleh makmal bebas ke atas sampel daripada produk yang ditukar mengesahkan ianya selamat untuk diminum dan mematuhi sepenuhnya Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” kata kenyataan tersebut.

Terdahulu, laporan media menyebut mengenai rungutan orang ramai mengenai air botol Spritzer yang dibeli mempunyai bau kurang enak, seakan bau petai.

Susulan laporan tersebut, kata Spritzer, pihaknya telah melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca-punca bau tersebut dan mengambil langkah-langkah penambahbaikan untuk memastikan konsistensi dan kualiti yang berterusan.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Spritzer, Dr. Chuah Chaw Teo berkata, isu yang timbul adalah kejadian terpencil dan tidak mempunyai kaitan dengan aspek keselamatan di sumber air.

“Kami telah bertindak pantas untuk menambah baik proses penapisan dan protokol pemantauan bagi memastikan Spritzer terus menawarkan rasa yang segar dan unik serta memberi keyakinan berterusan kepada para pelanggan kami.

“Kami sedar bahawa situasi ini mungkin telah menyebabkan kesulitan kepada sesetengah pelanggan yang mengalaminya, dan kami amat menghargai pemahaman mereka.

“Spritzer bertekad untuk mengekalkan tahap mutu tertinggi produk dengan segala ketelusan dan tanggungjawab tertinggi untuk mengekalkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan yang telah kami bina sejak bertahun-tahun dahulu,” katanya lagi.

Bagi orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau masih mengalami isu ini dan memerlukan bantuan, boleh hubungi pasukan perkhidmatan pelanggan Spritzer di talian 1800-88-3111 atau info@spritzer.com.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button