BERITA SEMASADALAM NEGERI

Spritzer siasat aduan bau ‘petai’ pada produk air mineral

KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar air mineral terkemuka, Spritzer sedang menjalankan semakan berhubung aduan orang ramai mengenai bau tidak menyenangkan pada produk minuman mereka, Spritzer Natural Mineral Water.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Spritzer memohon maaf kepada pengguna atas kesulitan yang timbul, sambil menegaskan bahawa tindakan telah diambil bagi memastikan keselamatan dan kualiti produk terus terjamin.

Menurutnya, syarikat kini sedang menjejak kelompok pengeluaran seperti yang didakwa pengguna di media sosial selain menjalankan ujian terperinci serta audit menyeluruh terhadap proses pengendalian, penyimpanan dan pengangkutan.

“Ujian awal mengesahkan bahawa air tersebut selamat untuk diminum dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” jelas kenyataan itu.

Isu berkenaan tular apabila beberapa pengguna media sosial mendakwa air botol Spritzer berbau busuk seperti petai dan mempunyai rasa yang aneh.

Kenyataan dikeluarkan Spritzer berhubung dakwaan pengguna mengenai produk air minumannya yang berbau busuk.

Spritzer turut menjelaskan bahawa air botol berisiko menyerap bau sekiranya disimpan berhampiran bahan berbau kuat, justeru menasihatkan pengguna agar menyimpan produk di tempat sejuk dan kering serta menghabiskannya segera selepas dibuka.

Pengguna yang ingin mendapatkan bantuan atau penukaran boleh menghubungi talian 1800-88-3111, emel ke info@spritzer.com.my atau melalui WhatsApp di nombor +6017-435 3663 dan +6012-979 2663 dengan menyertakan kod kelompok serta butiran pembelian.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button