Telur ayam gred khas dengan harga berpatutan masuki pasaran mulai 1 Ogos
PUTRAJAYA – Pemain industri bersetuju memperkenalkan telur ayam gred khas dengan harga lebih berpatutan mulai 1 Ogos.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, langkah segera itu adalah memastikan keterjaminan bekalan dan kestabilan harga di pasaran.
Langkah itu juga seiring penstrukturan semula harga telur ayam yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa esok, sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi secara berfasa bagi memastikan keberkesanan dan impak yang lebih lestari.
“Keputusan ini juga dibuat setelah mengambil kira keyakinan terhadap keupayaan pihak industri dalam memastikan pengeluaran telur ayam yang stabil dan mencukupi,” katanya dalam kenyataan.
KPKM berkata, penstrukturan semula subsidi adalah penting bagi mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan, selepas hampir RM2.5 bilion dibelanjakan bagi menampung subsidi telur ayam antara Feb 2022 hingga Dis 2024 semasa krisis pandemik dan gangguan rantaian bekalan global.
“Kini dengan keadaan pasaran semakin stabil, subsidi ini disusun semula agar lebih menyeluruh dan berfokus,” katanya.
KPKM turut memakluman, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkukuh pemantauan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi membanteras sebarang manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Langkah ini penting bagi memastikan harga yang dikenakan kepada pengguna kekal berpatutan dan adil,” katanya.
Orang ramai turut boleh mendapatkan telur ayam pada harga yang kompetitif melalui program Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara, termasuk di premis jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




