POLITIK

Pemuda DAP Perak nafi Thulsi terima cabaran debat, dakwa poster palsu kerja MIC

IPOH – Pemuda DAP Perak menolak cabaran debat yang dikemukakan Ketua Pemuda MIC Perak, Theeagash Ganesan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buntong, M Thulsi, sambil menyifatkannya sebagai gimik politik murahan yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.

Dalam kenyataan hari ini, Pemuda DAP mendakwa poster tular yang memaparkan seolah-olah Thulsi bersetuju menerima cabaran debat itu adalah palsu dan dipercayai direka pihak MIC untuk mengelirukan orang awam serta mencemarkan reputasi wakil rakyat berkenaan.

“MIC telah menjadi sebahagian daripada kerajaan hampir enam dekad, namun masyarakat India di Malaysia masih berdepan pelbagai kesukaran sosio-ekonomi yang berpanjangan.

“Jika rekod MIC benar-benar baik, sudah tentu kehidupan masyarakat India akan jauh lebih baik hari ini. Tetapi sebaliknya yang berlaku, membuktikan kegagalan MIC dalam memperjuangkan nasib komuniti tersebut,” memetik laporan Malaysiakini.

Menurut mereka, Thulsi tidak pernah memberi persetujuan untuk berdebat, sebaliknya kekal fokus terhadap usaha membela nasib pengundi di kawasan Buntong tanpa mengira latar belakang kaum.

“Debat sepatutnya membawa nilai kepada perjuangan, namun tiada nilai yang boleh dicapai jika ia hanya bersandarkan kepada sejarah prestasi yang tidak meyakinkan.

“MIC perlu berhenti buang masa dengan provokasi murahan seperti ini dan kembali kepada usaha yang ikhlas untuk membela rakyat,” tegas mereka lagi.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Theeagash mencabar Thulsi untuk berdebat secara terbuka mengenai pencapaian MIC dan DAP dalam memperjuangkan hak masyarakat India di negara ini.

Namun Thulsi dalam reaksinya menafikan menerima sebarang cabaran dan menyatakan poster yang tersebar adalah tidak benar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button