Pendidikan seksual harus jadi pencegahan, bukan sekadar intervensi – Putera MIC
KUALA LUMPUR – Putera MIC menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai lima komponen utama reformasi pendidikan negara secara serta-merta, khususnya usaha menjadikan sekolah sebagai premis yang lebih selamat untuk semua pelajar.
Ketua Putera MIC, Dr Shatesh Kumar Sangar berkata, antara komponen utama yang diberi tumpuan iaitu Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial penting untuk menangani isu keganasan seksual terhadap kanak-kanak melalui program kesedaran dan intervensi berpandukan panduan agama, nilai serta budaya tempatan.
Namun katanya, Putera MIC Kebangsaan menegaskan bahawa pelaksanaan pendidikan tersebut tidak boleh sekadar bersifat formal atau simbolik.
“Pengalaman lalu menunjukkan subjek sivik dan pendidikan jasmani sering dijadikan ruang mengajar subjek teras lain, sekali gus menjejaskan keberkesanan pendidikan sebenar.
“Pendidikan Kesihatan Reproduktif harus lebih daripada sekadar intervensi selepas kejadian. Ia perlu berfungsi sebagai langkah pencegahan awal terhadap gangguan seksual, rogol, kehamilan remaja dan gejala sosial tidak sihat lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, topik pembelajaran wajib merangkumi anatomi dan biologi reproduktif, hubungan interpersonal dan konsep persetujuan (consent), serta identiti jantina dan orientasi seksual.
Selain itu, katanya, pelajar juga perlu didedahkan kepada isu keganasan seksual serta akibat undang-undang, termasuk hukuman berat yang bakal dikenakan terhadap pesalah.
Pendidikan ini, katanya, bukan bertujuan menakut-nakutkan pelajar tetapi mendidik mereka agar menjadi individu yang peka, berpengetahuan, dan bertanggungjawab.
Pada masa sama belau turut menekankan bahawa keberkesanan pendidikan itu hanya akan tercapai melalui pelaksanaan yang teliti, konsisten dan berfokus bagi menjamin kesejahteraan serta keselamatan semua pelajar di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








