BERITA SEMASAHIBURAN

KLFW 2025 gegar ibu kota, lebih 55 pereka tampil rekaan terkini

KUALA LUMPUR – Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2025 membuka tirai hari ini dengan menampilkan lebih 55 pereka fesyen dan jenama terkenal dalam acara berprestij yang berlangsung selama tujuh hari di Esplanade, Taman KLCC.

Acara yang kini memasuki edisi ke-13 itu kembali dengan skala lebih besar dan gaya lebih berani apabila ia sekali lagi berlangsung dengan latar ikonik Menara Berkembar PETRONAS.

Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2025 FOTO MT/HAFIZ
Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2025 FOTO MT/HAFIZ

Lokasi pertunjukan disediakan dalam struktur satu tingkat berkonsepkan monokrom yang menempatkan dewan pertunjukan utama, landasan fesyen dan pelbagai ruang interaktif.

Pengasas KLFW, Andrew Tan berkata, kejayaan penganjuran tahun lalu menjadi pencetus kepada penganjuran edisi kali ini yang menjanjikan pengalaman lebih menarik buat penggiat industri dan peminat fesyen tempatan.

Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2025 FOTO MT/HAFIZ
Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2025 FOTO MT/HAFIZ

“Selepas kejayaan KLFW 2024 yang berlangsung selama tujuh hari dalam ruang binaan khas, kami tahu perlu kembali dengan penganjuran yang lebih hebat. Walaupun KLFW dilihat sebagai acara fesyen utama di Kuala Lumpur, ia tetap berteraskan kepada semangat komuniti dan satu gerakan kolektif yang disatukan oleh dedikasi para pereka, penaja, rakan kongsi serta komuniti pencinta fesyen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penganjuran kali ini turut menyaksikan penyertaan semula nama-nama besar dalam industri seperti Ezzati Amira, Hatta Dolmat, Maarimaia, Mimpikita, Neonate dan Private Stitch. Selain itu, beberapa pereka muda yang sedang meningkat naik seperti Akmal Hakim, ShazNash, Ugly Pretty, HUNTILANAK dan MOKJY turut tampil buat pertama kali memperkenalkan koleksi masing-masing di pentas KLFW.

Acara turut mencuri tumpuan apabila pereka terkenal, Radzuan Radziwill dan tukang jahit couture Teh Firdaus dijadualkan membuat penampilan sulung mereka di KLFW. Kedua-duanya terkenal dengan rekaan eksklusif yang sering digayakan oleh golongan bangsawan dan selebriti tempatan.

KLFW 2025 juga memperlihatkan kolaborasi unik antara Larney dan pereka Afiq M yang kembali membawa gaya landasan serba hitam yang menjadi identitinya.

Selain itu, dua pemelihara tekstil warisan, Muni dan Sofia Iman, mempersembahkan rekaan berasaskan pewarna semula jadi serta reinterpretasi moden terhadap kain songket.

Penganjur turut memberi peluang kepada pereka baharu menerusi segmen Design To Sustain, apabila tiga pereka muda iaitu Raja Irfan, Mei Mei dan Salahuddinhilmi dipilih mempamerkan rekaan masing-masing selepas muncul sebagai pemenang dalam pertandingan KLFW Designer Search 2024.

Setiap pertunjukan dijangka dihadiri lebih 500 tetamu jemputan, manakala peminat fesyen berpeluang menyaksikan siaran langsung pertunjukan yang akan ditayangkan di luar kawasan pertunjukan utama.

KLFW 2025 mendapat tajaan daripada Suria KLCC, KLCC (Holdings) Sdn Bhd, L’Oréal Paris, Poh Kong, MOCCONA dan vivo Malaysia. Antara rakan kolaborasi lain ialah AirAsia, Laurier, GHD, Laurastar, Magnum, HMNS, Vida, AICB, Signature, Colgate dan Skechers.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai jadual pertunjukan dan senarai penuh pereka boleh melayari laman web rasmi KLFW atau mengikuti saluran media sosial mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button