Agong berangkat ke Russia untuk Lawatan Negara
SUBANG – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berangkat ke Russia pagi tadi bagi menjalani Lawatan Negara bermula esok hingga 10 Ogos ini atas jemputan Presiden Russia, Vladimir Putin.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim mencipta sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia pertama yang mengadakan Lawatan Negara ke Russia sejak hubungan diplomatik Malaysia-Rusia terjalin pada tahun 1967.
Istiadat Mengucap Selamat Berangkat sempena lawatan negara Seri Paduka Baginda berlangsung di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pagi tadi.
Turut hadir pada istiadat tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof
bagi mengucapkan selamat berangkat kepada baginda.
Selain itu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar; Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris; dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, juga hadir mengucapkan selamat berangkat kepada baginda.
Sebelum berangkat, baginda turut berkenan menerima tabik hormat diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, yang diiringi dengan tembakan meriam sebanyak 21 das serta lagu Negaraku.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















