Anwar hargai sokongan Indonesia terhadap kepengerusian ASEAN Malaysia
JAKARTA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto atas sokongan negara itu terhadap kepengerusian Malaysia dalam ASEAN bagi tahun 2025.
Penghargaan tersebut dizahirkan ketika kedua-dua pemimpin memperteguh komitmen bersama untuk terus memelihara perpaduan dan kerelevanan ASEAN, khususnya dalam menghadapi ketegangan geopolitik serantau yang semakin mencabar.
“Saya menantikan kehadiran Presiden Prabowo di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan sidang berkaitan pada Oktober nanti,” kata Anwar seperti dipetik dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Wisma Putra.
Beliau berkata demikian semasa Rundingan Tahunan Ke-13 Malaysia-Indonesia yang berlangsung di ibu negara Indonesia.
Kenyataan itu menyebut, kedua-dua pemimpin sepakat bahawa ASEAN perlu lebih proaktif dalam menangani cabaran global dan serantau, sekali gus memperkukuh integrasi demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini.
Menyentuh situasi di Myanmar, Anwar dan Prabowo melahirkan kebimbangan terhadap keganasan berterusan dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di negara tersebut.
Kedua-duanya menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN dan menyeru pelaksanaan gencatan senjata serta-merta, menyeluruh dan berkekalan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan serta dialog inklusif dilaksanakan.
“Malaysia dan Indonesia sedia bekerjasama rapat dengan ASEAN serta rakan antarabangsa bagi memastikan pelaksanaan penuh 5PC ke arah penyelesaian damai di Myanmar,” jelas kenyataan itu.
Anwar turut memaklumkan Prabowo mengenai hasil Mesyuarat Khas Kemboja-Thailand anjuran Malaysia pada Isnin lalu yang berjaya mencapai gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.
Presiden Indonesia itu menyambut baik inisiatif Malaysia dan menyatakan sokongan penuh terhadap peranannya dalam memelihara kestabilan serantau.
Kedua-dua pemimpin turut menegaskan keperluan tindakan kolektif global untuk mencapai penyelesaian adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel termasuk mendesak gencatan senjata segera dan tanpa syarat di Gaza.
Mereka mengecam penggunaan kebuluran sebagai senjata perang sambil menggesa agar bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk tanpa sekatan.
“Malaysia dan Indonesia sebulat suara menolak usaha Israel ke atas Wilayah Palestin yang diduduki serta tindakan pengusiran paksa rakyat Palestin,” ujar kenyataan itu.
Dalam masa sama, kedua-duanya mengalu-alukan peningkatan pengiktirafan antarabangsa terhadap negara Palestin dan menyeru lebih banyak negara untuk segera mengiktirafnya.
Sebagai susulan kepada rundingan tahun ini, kedua-dua negara bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala (JCBC) Ke-17 dan mengesahkan Rundingan Tahunan Ke-14 akan diadakan di Malaysia pada 2026.
Pertemuan antara Anwar dan Prabowo turut memperkukuh kerjasama erat Malaysia-Indonesia dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan, ekonomi dan pembangunan serantau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








