BERITA SEMASADALAM NEGERI

Datuk Shazeli Kahar terajui polis Selangor

SHAH ALAM – Selangor kini menerima ketua polis baharu apabila Datuk Shazeli Kahar secara rasmi dilantik mengisi jawatan tersebut berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan beliau menggantikan Datuk Hussein Omar Khan yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 21 Julai lalu.

Sepanjang kekosongan jawatan itu, tanggungjawab Ketua Polis Selangor dipikul oleh timbalannya, Datuk Mohd Zaini Abu Hassan.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan disaksikan Komisioner Polis Gilberd Philip Layang yang juga Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) Bukit Aman.

Dalam ucapannya, Shazeli melahirkan penghargaan atas amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya dan komited untuk memikul tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin.

“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan dan sedar bahawa harapan masyarakat serta warga PDRM amat tinggi terhadap kepimpinan yang berwibawa, berintegriti dan sentiasa prihatin.

“Saya bertekad untuk meneruskan kecemerlangan pentadbiran yang telah dibina dan pada masa sama mendorong perubahan positif demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya.

Datuk Shazeli, 50, mempunyai pengalaman hampir 25 tahun dalam PDRM sejak menyertai pasukan itu sebagai pegawai di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Perak.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah menggalas pelbagai peranan strategik termasuk di Bukit Aman, selain mengetuai Cawangan Khas di IPK Perak dalam tugas-tugas pemantauan berkaitan ekstremisme sosial dan agama.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button