BERITA SEMASA

Buru ikan bandaraya: MPKL sedia insentif RM1 bagi 1kg

Insentif sebanyak RM1 bagi setiap kilogram hasil tangkapan ikan bandaraya.

KUALA LANGAT – Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dengan kerjasama Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) melaksanakan Program misi buru Ikan Asing di Sungai Klang, Taman Mas langat, bagi membanteras populasi ikan pleco (ikan bandaraya) yang semakin membimbangkan.

Kira- kira 57 orang peserta mengikuti Program Misi Buru Ikan Asing di Sungai Klang, di sini.

Program tersebut memberi tumpuan penuh kepada penangkapan ikan bandaraya yang dikesan membiak secara berleluasa sehingga menyebabkan kerosakan ekosistem dan runtuhan tebing sungai.

Menurut Ahli Majlis Zon 21 MPKL, Nur Zairina Muzaini, ikan bandaraya kini menjadi ancaman utama di beberapa kawasan sungai termasuk di Sungai Klang, apabila didapati menggali lubang di sepanjang tebing untuk membiak.

“Lubang-lubang yang digali ikan ini menyebabkan tebing runtuh, ia juga terlalu banyak dan aktif sepanjang masa. Spesies ikan tempatan seperti haruan pun sudah jarang ditemui di kawasan ini,” katanya kepada Malaysia Tribune di sini hari ini.

Beliau berkata, program penangkapan dijalankan dengan kaedah menjala dan menggunakan pukat yang lebih sesuai berbanding memancing, terutama di kawasan sungai yang dalam atau berjeram.

Katanya, sebagai galakan, peserta yang berjaya menangkap ikan bandaraya akan menerima insentif sebanyak RM1 bagi setiap kilogram hasil tangkapan.

Ikan yang ditangkap akan ditimbang terlebih dahulu sebelum serahan wang kepada peserta. – Foto Malaysia Tribune.

“Ini usaha kita untuk libatkan komuniti setempat dalam usaha membanteras populasi ikan bandaraya. Program ini turut disertai penduduk dari sekitar Langat dan beberapa zon lain MPKL,” katanya.

Zairina menjelaskan, inisiatif itu tercetus selepas SPIA yang terdiri daripada kumpulan pemancing tegar memuat naik video mengenai peningkatan jumlah ikan pleco, sekali gus menarik perhatian pihak berkuasa tempatan.

“Mereka mula sedar hanya ikan pleco yang mereka tangkap di kawasan ini. Bila video mereka tular, saya turun padang dan akhirnya kita anjurkan program ini secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata, ikan pleco yang ditangkap akan disalurkan kepada pengusaha pertanian dan penternak untuk dijadikan baja atau makanan ternakan. Selebihnya akan dilupuskan di tapak pelupusan.

“Kita beri keutamaan kepada mereka yang mahu ambil untuk guna semula secara pertanian, yang tidak diambil, kita lupuskan,” ujarnya.

Menurutnya, usaha ini wajar digerakkan secara lebih menyeluruh dengan kerjasama agensi seperti Jabatan Perikanan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kerajaan negeri, pihak swasta dan institusi pengajian tinggi.

“Sungai ini perlu dipulihkan secara berkala. Masalah ini tidak hanya berlaku di Kuala Langat, tetapi di seluruh negeri,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button