Berita Semasa

GAMIS cadang fungsi kad diskaun siswa diperluas

KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyambut baik inisiatif kerajaan yang mahu memperkenalkan semula kad diskaun siswa, namun kad tersebut perlu diperluas fungsi penggunaanya. 

Menurut Presiden GAMIS, Wan Muhammad Arif Wan Bazli Arif, disebabkan inisiatif tersebut bersifat jangka masa pendek, kerajaan perlu memastikan setiap universiti menguatkuasakan inisiatif ini dengan lebih efektif dengan kaedah yang sistematik.

“Kerajaan perlu meneliti semula sistem Kad Prihatin Siswa (KPS) sedia ada yang telah dicadangkan oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) kerana mempunyal obiektif bagi menyeragamkan kemudahan atau fasiliti dan tawaran promosi kepada pelajar.

“Liputan inisiatif ini perlu diperluas di kafe-kafe universiti, kedai-kedai buku, kedai runcit dan apa-apa kawasan yang menjadi tumpuan utama pelajar supaya manfaat dapat dinikmati sepenuhnya bagi memenuhi keperluan kebajikan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Wan Muhammad Arif, pihak kementerian juga perlu mempunyai pelan jangka masa panjang untuk menyelesaikan isu kos yang membebani mahasiswa miskin.

“GAMIS meminta kerajaan agar turut menumpukan fokus kepada usaha untuk menyelesaikan isu-isu dasar mahasiswa miskin seperti kos yuran yang tinggi dan juga pembayaran elaun bagi program latihan industri wajib.

“Isu-isu dasar ini perlu diberikan keutamaan untuk memastikan penyelesaian yang komprehensif di samping pelbagai inisiatif yang cuba diusahakan oleh kerajaan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, pada 17 Jun lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub bercadang memperkenalkan Kad Siswa Rahmah.

Katanya, perkara itu masih di peringkat cadangan dan perlu dibincangkan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terlebih dahulu.

Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) telah diperkenalkan pada tahun 2017 sewaktu kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

KADS1M ialah kad debit pramuat dengan nilai RM250, berfungsi sebagai kad debit yang boleh digunakan oleh pelajar untuk tujuan pembelajaran manakala sebelum itu para pelajar diberikan baucar buku.

Show More

Related Articles

Back to top button