KDNK meningkat, ringgit kukuh, pengangguran menurun – Tanda prestasi ekonomi Malaysia meningkat
KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berada di landasan kukuh dan meyakinkan hasil pendekatan holistik yang digerakkan menerusi kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi negara bukan sahaja diiktiraf dalam negara, malah turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Menurut beliau, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku pertama 2025 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus dan dijangka meningkat kepada 4.5 peratus pada suku kedua.
“Lebih membanggakan, Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025 kepada kedudukan ke-23.
“Negara juga mencatat pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM384 bilion pada tahun lalu, peningkatan 17 peratus berbanding 2023 dan diunjur terus melonjak pada tahun 2025,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Anwar berkata demikian dalam satu siaran langsung sempena pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia hari ini.
Baca juga : SARA RM100 untuk semua – PM Anwar
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keyakinan terhadap ekonomi negara turut diterjemahkan melalui prestasi Ringgit yang mengukuh lebih 5 peratus berbanding Dolar Amerika Syarikat setakat pertengahan tahun ini.
Beliau berkata, ringgit kini berada pada paras RM4.23, sekali gus meletakkannya antara lima mata wang terbaik di Asia bagi tahun ini.
Pada masa yang sama, Anwar menyatakan pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi turut dinikmati rakyat.
Jelas beliau, kadar pengangguran berjaya diturunkan kepada 3.0 peratus pada Mei tahun ini, terendah dalam tempoh lebih sedekad berbanding 3.9 peratus pada 2022.
“Gaji minimum juga dinaikkan kepada RM1,700 bermula 1 Februari 2025 dan akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.
“GLIC dan GLC turut memastikan seramai 153,000 pekerja menerima gaji kehidupan wajar sekurang-kurangnya RM3,100 sebulan,” katanya sambil menambah sepanjang 2023 dan 2024, lebih 250,000 pekerjaan baharu diwujudkan.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan turut menambah lebih 4,352 jawatan doktor dan pegawai perubatan yang akan segera diisi menjelang hujung tahun ini bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








